Rabu, Mei 06, 2009

Persaingan Dalam Teknologi Komunikasi

Kerajaan terus memberi perhatian dan penekanan pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai cabang ilmu dan sumber teknologi untuk kemajuan rakyat dan negara. Penekanan berterusan oleh kerajaan kepada ICT dibuktikan dengan pelancaran Bulan ICT Malaysia oleh Perdana Menteri ke-5, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Perdana Menteri menyatakan faedah dan manfaat ICT perlu sampai ke setiap pelosok negara supaya timbul kesedaran rakyat mengenai peluang ekonomi yang boleh diwujudkan oleh ICT serta memperkembangkan budaya ICT di kalangan rakyat.
Seperti kita tahu, industri ICT bermula sekitar 1950-an. Ia bermula sebagai usaha memproses maklumat untuk memudahkan simpanan rekod dan analisis membuat keputusan. Bagi mereka yang masih ingat, peringkat awal kaedah menyimpan maklumat menggunakan kad penebuk (punch card) dengan mesin pemprosesan yang besar dan perlahan. Kos menggunakan teknologi pemprosesan maklumat adalah tinggi pada peringkat awal. Bagaimanapun, teknologi ini berkembang secara berperingkat hingga dikenali sebagai ICT sekarang. Dengan kemajuan berterusan, ICT menjadi keperluan yang diterima kerajaan dan organisasi perniagaan.
Sejak pertengahan 1990-an, industri ICT melalui kemajuan yang amat pesat dengan pakar bidang itu berlumba-lumba menghasilkan komputer yang lebih berkuasa. Perlumbaan di kalangan pemain dalam industri ICT memperkenalkan pelbagai kaedah baru seperti 'Local Area Network (LAN)', Internet, e-mel dan pelbagai perisian canggih.Pada masa ini, penggunaan ICT begitu luas dan meliputi setiap aspek kehidupan. Kita mendapati ICT digunakan bagi tujuan komunikasi, pelajaran, pertahanan, pengangkutan, perubatan, perbankan, hiburan dan pelbagai lagi. Terbukti bahawa penggunaan ICT yang positif membantu memperbaiki kehidupan manusia.
Secara umumnya, penggunaan ICT dalam apa bidang sekalipun seharusnya bertujuan meningkatkan kecekapan mengurus maklumat. Di samping itu, ICT seharusnya diguna untuk menjimatkan masa operasi, mengurangkan kos serta meningkatkan produktiviti. Pada zaman ICT sekarang, semua usahawan dan ahli perniagaan tidak dapat mengelak daripada menggunakan kemudahan itu untuk mengurus perniagaan dan perusahaan mereka. Sama ada secara langsung atau tidak, setiap perniagaan terpaksa berdepan dengan penggunaan ICT. Seperti bidang lain, penggunaan ICT dalam perniagaan juga bertujuan membantu pengurusan perniagaan menjadi lebih cekap dan menguntungkan. Perniagaan menggunakan ICT untuk mempercepatkan masa pusing ganti operasi dan dengan ini meningkatkan produktiviti. Penggunaan ICT dalam perniagaan juga seharusnya membantu meningkatkan kualiti produk atau perkhidmatan, selain mengurangkan kos penyelenggaraan bagi jangka panjang.
Bagi tujuan pengurusan perniagaan, kita perhatikan pelbagai perisian dan aplikasi yang semakin canggih dan bijak terus dicipta. Setiap aspek pengurusan perniagaan boleh memilih jenis perisian dan aplikasi yang sesuai untuk kegunaan pengurusan dan pentadbiran. Perniagaan yang mempunyai operasi di pelbagai tempat sama ada dalam atau luar negara dapat berkomunikasi dan memantau perkembangan perniagaan mereka dengan pantas. Hal ini sekali gus mewujudkan suasana dunia tanpa sempadan yang membawa proses globalisasi. Satu hakikat kehidupan ialah perubahan akan sentiasa dan terus berlaku. Kelebihan akal yang dikurniakan Allah kepada manusia menyebabkan proses perubahan sebagai sesuatu yang harus berlaku, melainkan manusia berhenti berfikir. Kemajuan ICT hanya mempercepatkan proses perubahan. Justeru, semua usahawan, terutama Bumiputera dan Muslim hendaklah mampu menyesuaikan diri dengan semua perubahan yang kebanyakannya didorong oleh kemajuan ICT. Kita semua berulang kali diingatkan supaya meningkatkan ilmu pengetahuan jika ingin terus maju dan mahu diperlukan. Dalam era ICT sekarang, keusahawanan perlu bergerak dalam suasana yang dipanggil k-ekonomi. Perkara ini bermakna kelebihan ilmu penting untuk menentukan kelebihan persaingan seseorang. Sama ada kita sedar atau tidak, kebanyakan ilmu yang kita perlukan sekarang berkait rapat dengan penggunaan ICT. Oleh itu, sesiapa yang tidak mempedulikan perkembangan dan kemajuan dalam ICT akan ketinggalan kerana ICT itu sendiri sudah menjadi pemangkin kepada peningkatan ilmu di semua bidang lain.
Dalam konteks keusahawanan dan perniagaan, apa yang dicari ialah penambahan kekayaan bagi pengusaha perniagaan. Matlamat ini hanya boleh dicapai jika usahawan dapat mencari beberapa kelebihan yang meningkatkan daya saingannya. Memang banyak perkara perlu dipelajari dan didalami oleh usahawan dan ahli perniagaan. Namun, hakikatnya dalam era ICT, banyak perkara yang diketahui hari ini mungkin menjadi lapuk dalam tempoh terdekat. Oleh itu, penggunaan ICT penting supaya tidak ketinggalan zaman. Usahawan berjaya memiliki beberapa ciri peribadi yang tidak boleh diubah seperti jujur, ikhlas, kreatif dan berani mengambil risiko. Begitu juga untuk berjaya, usahawan perlu kekal berpegang kepada beberapa etika perniagaan yang membezakan usahawan jujur dan penipu. Namun, usahawan, khususnya Bumiputera, harus segera sedar bahawa walaupun ciri kejayaan dan etika perniagaan tidak boleh diubah, cara mengurus yang tidak menentang etika akan terus berubah. Lebih penting lagi ialah menyedari bahawa kebanyakan perubahan mengenai kaedah dan proses adalah ditunjangi kemajuan ICT.
Oleh itu, usahawan tidak dapat lari daripada kemajuan ICT dan hendaklah segera berusaha meningkatkan pengetahuan serta menggunakannya untuk memajukan diri dan perniagaan. Usahawan yang tidak mengendahkan ICT akan tercicir dalam perlumbaan mengejar kejayaan. Usaha kerajaan memberi penekanan kepada ICT pasti memberi kelebihan kepada negara untuk bersaing dan menjadi negara maju. Apa yang kita tidak mahu lihat ialah negara menjadi maju dengan MSC dan pelbagai pendekatan lain dalam ICT, tetapi usahawan Bumiputera tidak menjadi sebahagian daripada kemajuan ini.

Kebebasan Tanpa Batasan Undang Kemudaratan

Pada zaman yang canggih dan serba moden ini, langkah kerajaan menggubal akta-akta baru terutamanya yang melibatkan media dan teknologi maklumat tidak boleh dipertikaikan. Seperti yang ditegaskan oleh Bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi (Januari 2008), penggubalan akta seumpama itu merupakan satu bentuk peraturan yang harus dilaksanakan bagi menjayakan aspirasi serta cita-cita negara dan masyarakat.
Secara logiknya mana mungkin sesuatu pembaharuan terutamanya yang berkaitan dengan media dan teknologi maklumat dipandang remeh. Sesebuah negara hanya boleh diklasifikasikan sebagai bertamadun hasil daripada terciptanya undang-undang dan peraturan yang membatas sesuatu perkara daripada disalahgunakan.
Senario yang sama perlu kepada media dan teknologi kerana ada kalanya kedua-dua medium ini sering disalahgunakan oleh sesetengah pihak. Kita perlu memandang serius perkara ini kerana kajian jelas menunjukkan keyakinan pelbagai pihak mengenai besarnya kuasa media dan teknologi maklumat kepada penduduk di sesebuah negara. Amerika Syarikat sendiri menganggap kuasa media adalah yang paling besar sehingga boleh menjatuhkan kerajaan yang memerintah negara itu sendiri. Oleh sebab itu, penyalahgunaan kuasa oleh media serta dibantu oleh kemudahan teknologi yang tiada batasnya sebenarnya mampu memberikan impak yang positif mahupun negatif kepada masyarakat setempat.
Bukan tidak pernah timbul isu-isu penyalahgunaan media dan teknologi seperti Internet misalnya. Malangnya kesalahan seumpama itu terpaksa dibiarkan begitu sahaja kerana tiada akta yang membenarkan pelakunya dikenakan tindakan. Apakah kita perlu menunggu timbulnya isu-isu lain akibat penyalahgunaan media dan teknologi maklumat untuk kita berasa menyesal kerana tidak memperkenalkan akta yang berkaitan sebelum ini. Memprotes sesuatu yang baru adalah suatu perkara yang lazim terjadi kerana manusia ciptaan Tuhan tidak akan menerima dengan pembaharuan secara mengejut. Namun, dengan kematangan fikiran yang sepatutnya seiring dengan kemajuan media dan teknologi ciptaan manusia sendiri, pertikaian tidak sepatutnya timbul malah sepatutnya disokong dengan idea-idea dan cadangan yang bernas bagi memastikan keberkesanan penggubalan akta-akta baru tersebut.
Dari sudut lain, ia akan mengurangkan lagi jenayah yang berbentuk ‘moden’ ini. Kerana itu, akta-akta ‘moden’ juga perlu untuk memastikan wujudnya keseimbangan pada ruang tanpa batasan ini. Dengan itu manusia akan lebih bijak dan peka dengan batas kebebasan dan tidak menyalahgunakan kebebasan tersebut. Mesej penggubalan akta ini tidak harus dikaitkan dengan kebebasan media dalam menyampaikan maklumat yang sering digembar-gemburkan. Kewujudan akta-akta ini hanyalah sebagai pengawal dalam kebebasan media dan teknologi yang sebelum ini bebas melakukan apa saja tanpa memikirkan baik buruk akibatnya di kemudian hari. Pun begitu, untuk memboikot atau mensabotaj sesebuah media atau penggunaan teknologi juga bukanlah satu idea yang bijak dalam menangani isu penyalahgunaan ini. Justeru, adalah paling baik jika adanya akta-akta ini sebagai garis panduan dan ingatan kepada semua pihak. Malah, langkah mengemas kini akta-akta tersebut juga perlu dibuat dari semasa ke semasa sejajar dengan perubahan yang berlaku. Hanya dengan cara itu matlamat kita untuk menjadi sebuah negara maju yang masyarakatnya tidak dikongkong oleh pegangan lapuk dapat dicapai.

Ekspedisi ke Mat Daling
















Masuk ikut Lepar keluar Kuala Tahan

Redah 4x4

Redah 4x4

Komunikasi Kepemimpinan




Dalam konteks organisasi, komunikasi kepemimpinan ialah proses bagaimana pemimpin berkongsi pengalaman dengan anggota organisasinya, dan begitu juga sebaliknya. Setiap pemimpin mempunyai pengalaman dan pengetahuan. Apabila pemimpin menyampaikan pengalaman dan pengetahuannya kepada anggotanya, itu namanya berkomunikasi. Dalam proses pemimpin dan anggotanya bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan, mereka mencipta makna antara satu sama lain. Di dalam komunikasi di organisasi, baik pihak pemimpin mahupun pihak bawahan, masing-masing mempunyai pengalaman dan pengetahuan. Apabila mereka berkomunikasi, mereka saling menyatakan pengalaman dan pengetahuan masing-masing dan dengan cara itu mereka mendapat makna daripada pertukaran tersebut.