Rabu, Mei 06, 2009

Kebebasan Tanpa Batasan Undang Kemudaratan

Pada zaman yang canggih dan serba moden ini, langkah kerajaan menggubal akta-akta baru terutamanya yang melibatkan media dan teknologi maklumat tidak boleh dipertikaikan. Seperti yang ditegaskan oleh Bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi (Januari 2008), penggubalan akta seumpama itu merupakan satu bentuk peraturan yang harus dilaksanakan bagi menjayakan aspirasi serta cita-cita negara dan masyarakat.
Secara logiknya mana mungkin sesuatu pembaharuan terutamanya yang berkaitan dengan media dan teknologi maklumat dipandang remeh. Sesebuah negara hanya boleh diklasifikasikan sebagai bertamadun hasil daripada terciptanya undang-undang dan peraturan yang membatas sesuatu perkara daripada disalahgunakan.
Senario yang sama perlu kepada media dan teknologi kerana ada kalanya kedua-dua medium ini sering disalahgunakan oleh sesetengah pihak. Kita perlu memandang serius perkara ini kerana kajian jelas menunjukkan keyakinan pelbagai pihak mengenai besarnya kuasa media dan teknologi maklumat kepada penduduk di sesebuah negara. Amerika Syarikat sendiri menganggap kuasa media adalah yang paling besar sehingga boleh menjatuhkan kerajaan yang memerintah negara itu sendiri. Oleh sebab itu, penyalahgunaan kuasa oleh media serta dibantu oleh kemudahan teknologi yang tiada batasnya sebenarnya mampu memberikan impak yang positif mahupun negatif kepada masyarakat setempat.
Bukan tidak pernah timbul isu-isu penyalahgunaan media dan teknologi seperti Internet misalnya. Malangnya kesalahan seumpama itu terpaksa dibiarkan begitu sahaja kerana tiada akta yang membenarkan pelakunya dikenakan tindakan. Apakah kita perlu menunggu timbulnya isu-isu lain akibat penyalahgunaan media dan teknologi maklumat untuk kita berasa menyesal kerana tidak memperkenalkan akta yang berkaitan sebelum ini. Memprotes sesuatu yang baru adalah suatu perkara yang lazim terjadi kerana manusia ciptaan Tuhan tidak akan menerima dengan pembaharuan secara mengejut. Namun, dengan kematangan fikiran yang sepatutnya seiring dengan kemajuan media dan teknologi ciptaan manusia sendiri, pertikaian tidak sepatutnya timbul malah sepatutnya disokong dengan idea-idea dan cadangan yang bernas bagi memastikan keberkesanan penggubalan akta-akta baru tersebut.
Dari sudut lain, ia akan mengurangkan lagi jenayah yang berbentuk ‘moden’ ini. Kerana itu, akta-akta ‘moden’ juga perlu untuk memastikan wujudnya keseimbangan pada ruang tanpa batasan ini. Dengan itu manusia akan lebih bijak dan peka dengan batas kebebasan dan tidak menyalahgunakan kebebasan tersebut. Mesej penggubalan akta ini tidak harus dikaitkan dengan kebebasan media dalam menyampaikan maklumat yang sering digembar-gemburkan. Kewujudan akta-akta ini hanyalah sebagai pengawal dalam kebebasan media dan teknologi yang sebelum ini bebas melakukan apa saja tanpa memikirkan baik buruk akibatnya di kemudian hari. Pun begitu, untuk memboikot atau mensabotaj sesebuah media atau penggunaan teknologi juga bukanlah satu idea yang bijak dalam menangani isu penyalahgunaan ini. Justeru, adalah paling baik jika adanya akta-akta ini sebagai garis panduan dan ingatan kepada semua pihak. Malah, langkah mengemas kini akta-akta tersebut juga perlu dibuat dari semasa ke semasa sejajar dengan perubahan yang berlaku. Hanya dengan cara itu matlamat kita untuk menjadi sebuah negara maju yang masyarakatnya tidak dikongkong oleh pegangan lapuk dapat dicapai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan